Wednesday 6 January 2016

Halangan Yang Dihadapi Dalam Kerjasama Antara Negara Serantau ASEAN

1. Halangan Dalam Kerjasama Politik
       Kerjasama politik sering dikaitkan dengan hubungan diplomasi antara negara-negara di serantau ASEAN. Menurut Constantinou istilah “diplomasi” berasal dari perkataan Yunani iaitu “diploun” yang membawa maksud ‘melipat’ (Azizuddin, 2004). Fungsi-fungsi asas diplomasi adalah perwakilan sesebuah negara, komunikasi, melaporkan dan perundingan. Namun fokus diplomasi ketika itu bukan sahaja tertumpu pada isu-isu antara kerajaan tetapi pada perdagangan (Cohen. R. 1999). Halangan dalam kerjasama politik berlaku akibat daripada kelemahan hubungan diplomasi antara negara-negara ASEAN iaitu hubungan diplomasi yang tidak berlaku secara aman sebaliknya mempunyai unsur kekerasan sehingga menyebabkan berlaku konfilk atau halangan antara negara-negara ASEAN untuk membentuk kesepakatan (K.J. Holsti, 1983). Hubungan diplomasi yang mempunyai unsur kekerasan bermaksud negara-negara serantau menggunakan senjata sebagai alat penaklukan politik seperti kekuatan ketenteraan. Sesuatu konflik yang berlaku adalah berpunca daripada dua pihak yang ingin mencapai sesuatu tujuan dan dijadikan isu untuk dibangkitkan demi kepentingan negara tersendiri. Sesuatu konflik yang berlaku juga berpunca daripada hilangnya kepercayaan antara jalinan dua buah negara tersebut.

       Menurut K.J. Holsti, terdapat enam jenis sumber yang menyebabkan berlakunya konflik dalam kerjasama politik antara negara-negara serantau. Pertama ialah konflik wilayah terbatas, dimana berlaku ketidak fahaman antara negara-negara serantau terhadap pemilikan sesuatu bahagian wilayah khusus atau pada hak-hak mutlak yang diperolehi oleh sesebuah negara. Hal ini mewujudkan unsur kekerasan dalam diplomasi antara negara untuk memperolehi sesuatu wilayah. Contohnya, halangan yang wujud dalam kerjasama ASEAN seperti isu pencerobohan Tentera Sulu yang menginginkan wilayah Lahad Datu, Sabah, Malaysia untuk dijadikan kesatuan wilayah Filipina. Isu ini menggugat kedudukan ASEAN sebagai kesatuan yang aman. Hal ini berlaku kerana wujud ketidak fahaman antara pihak yang berkonflik terhadap sejarah hak-hak mutlak bagi sesebuah negara iaitu hak negeri Sabah sebagai wilayah mutlak bagi negara Malaysia. Seterusnya, sumber konflik yang kedua ialah konflik yang melibatkan unsur pemerintahan antara negara-negara serantau. Konflik ini menekankan aspek ideologi yang menjadi tonggak pemerintahan sesebuah negara. Contohnya ideologi yang perjuangkan oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Malaysia dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura yang membangkitkan isu bahasa Melayu dan isu perbezaan ideologi dalam sektor ekonomi dimana Malaysia mengamalkan ekonomi bersifat liberal (Mahathir Mohamad, 1995). Sumber konflik yang ketiga ialah konflik kehormatan nasional, dimana pemerintah sesebuah negara mengancam atau bertindak untuk menyelesaikan konflik kecil atau salah faham yang wujud antara negara-negara yang terlibat. Sesuatu tragedi yang berlaku diluar dugaan sesebuah negara, maka negara tersebut akan menggunakan kaedah pendamaian nasional bagi menjaga hubungan baik antara negara-negara serantau ASEAN. Contohnya, semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Malaysia, beliau cuba menjalinkan hubungan bersifat “lembut” dengan Singapura kerana Malaysia dan Singapura menghadapi pelbagai konflik seperti Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1963, hubungan UMNO di Malaysia dan PAP di Singapura, isu Bahasa Melayu, tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, dasar ekonomi Malaysia bersifat liberal, persamaan nilai di antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Lee Kuan Yew dan isu pertahanan Singapura yang lebih kukuh dari Malaysia (Mahathir Mohamad, 1995). Konflik-konflik yang berlaku antara Singapura dan Malaysia ini dikenali sebagai konflik kehormatan nasional dimana pemimpin kedua-dua negara cuba mengatasi masalah ini dengan menjalinkan hubungan diplomasi secara terbuka. Tambah K.J. Holsti  lagi, sumber konflik yang keempat ialah imperialisme regional, dimana sesebuah negara berusaha menghancurkan kemerdekaan negara lain. Imperialisme yang ditekankan oleh Holsti iaitu penaklukan negara ke atas negara lain yang bertujuan untuk menguasai ekonomi atau sesebuah negara ingin bangsanya lebih bertamadun dari sebuah bangsa lain. Sebelum ASEAN ditubuhkan, negara serantau agak bergelora dengan pelbagai konflik antaranya konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia serta Perang Vietnam pada tahun 1960. Rentetan itu telah mewujudkan AFTA untuk mengukuhkan ekonomi negara anggota ASEAN. Sumber konflik yang kelima ialah konflik pembebasan atau perang revolusioner yang dilakukan oleh sebuah negara untuk ‘membebaskan’ rakyat negara lain atas alasan etnik atau ideologi. Contohnya isu perlarian Rohingya di kawasan lautan Malaysia, Thailand dan Indonesia. Konflik yang wujud ialah pemimpin Malaysia, Indonesia dan Thailand menggesa ASEAN mengadakan rundingan dengan kerajaan Myanmar supaya menerima perlarian Rohingya sebagai rakyatnya demi kepentingan kemanusiaan. Sumber konflik yang terakhir ialah konflik yang timbul daripada tujuan sesebuah pemerintahan untuk mempersatukan sebuah negara yang terpecah. Contoh yang paling menonjol ialah menyatukan perpecahan yang berlaku di Negara Vietnam.
2. Halangan Dalam Kerjasama Ekonomi
Negara ASEAN sebenarnya berjaya menggalakkan kestabilan dalam kerjasama politik, ekonomi dan keselamatan antara negara-negara serantau. Namun terdapat beberapa halangan dalam kerjasama ekonomi antara negara anggota ASEAN yang berpunca daripada kemelesetan ekonomi dunia. Catatan kerjasama ekonomi ASEAN dalam industri atau pelaburan dan pengliberalan perdagangan masih tidak stabil. Persaingan ekonomi antara negara-negara ASEAN menerusi empat tahap iaitu Kawasan Perdagangan Bebas (Free Trade Area), Kesatuan Kastam (Custom Union), Pasaran Bersama (Common Market) dan Kesatuan Ekonomi ( Economic Union). Kemelesetan ekonomi negara anggoota ASEAN dapat dilihat daripada catatan Laporan Ekonomi 2014/2015 mengenai perubahan kadar inflasi bagi negara ASEAN iaitu pada tahun 2013 ASEAN merekodkan inflasi sebanyak 2.1 peratus bagi negara Malaysia sehingga 6.6 peratus, inflasi paling tinggi antara negara anggota ASEAN iaitu bagi Negara Vietnam. Manakala pada tahun 2014 mencatat kadar inflasi terendah bagi negara Singapura iaitu sebanyak 1.4 peratus dan Indonesia mencatat inflasi tertinggi iaitu sebanyak 6.0 peratus. Kadar Inflasi terjadi akibat daripada pelbagai faktor seperti saingan eksport, kejatuhan nilai mata wang dan kuasa beli pasaran yang tidak stabil (Azizuddin, 2004). Contohnya, ASEAN mempunyai cabaran dalam persaingan eksport ke region ekonomi dunia iaitu Kesatuan Eropah (EU) dan negara perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA). Buktinya, jumlah keseluruhan peratuasn eksport ASEAN ke NAFTA berbanding dunia adalah sebanyak 20 peratus dan jumlah ekport ASEAN ke EU berbanding dunia sebanyak 14 peratus. Secara keseluruhannya menunjukkan jumlah eksport ASEAN ke NAFTA dan EU adalah sebanyak 34 peratus berbanding dunia. Arah aliran eksport negara ASEAN yang tidak seimbang ini menyebabkan kuasa beli pasaran tidak stabil dan penurunan nilai mata wang sehingga berlakunya masalah inflasi. Penurunan nilai mata wang adalah kerana negara anggota ASEAN terlalu bergantung kepada dollar Amerika dan negara ASEAN perlu melakukan penstabilan nilai mata wang bagi mengelak berlaku inflasi (Daim, 1998). Permintaan yang tinggi terhadap barangan import juga menyebabkan negara ASEAN perlu bersaing dalam kuasa beli pasaran dunia dan hal ini akan menyebabkan sesebuah negara ASEAN akan berlaku inflasi. Oleh itu, untuk mengelak ekonomi ASEAN tergugat maka negara anggota ASEAN perlu meningkatkan aktiviti eksport dan mengurangkan import.

3. Halangan Dalam Kerjasama Bidang Keselamatan dan Keganasan
       Menurut Ruhana Harun (2009) keselamatan negara merujuk kepada tujuan dan cara bagaimana sesebuah negara mempertahankan dirinya daripada ancaman dan kemampuannya mengekalkan nilai teras negara tersebut. Keselamatan boleh dibahagikan kepada keselamatan tradisional dan bukan tradisional kini merupakan satu komponen penting dalam politik antarabangsa. Secara ringkasnya, keselamatan negara bersifat lebih komprehensif merangkumi isu politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Majoriti negara ASEAN menghadapi masalah keselamatan tradisional secara serius seperti ancaman nuclear, peperangan dan lain-lain. Jika masalah keselamatan negara dan keganasan tidak dibendung akan menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik, kemunduran ekonomi dan sosial negara-negara terlibat. Bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos pernah menyatakan bahawa insurgensi dan bukannya serangan luar yang merupakan masalah utama bagi negara anggota ASEAN. Contohnya, Negara Thailand, Filipina dan Myanmar mengahadapi insurgensi yang datang dari beberapa kumpulan tertentu. Di Filipina, insurgensi komunis dianggap cabaran terbesar terhadap keselamatan negara tersebut walaupun negara tersebut mengalami masalam kemiskinan, keganasan dan ketidakstabilan politik. Begitu juga Thailand yang menghadapi serangan gerakan pemisah di selatan Thailand. Myanmar pula menghadapi pemberontakan puak Karen di kawasan pendalaman yang bersempadan dengan China. Indonesia juga menghadapi ancaman gerakan pemisah dari Aceh dan Timor Timor. Isu keselamatan negara ini tidak hanya berkait dengan isu ketenteraan dan pengganas tetapi ia juga merangkumi isu keselamatan negara daripada keluar dan masuk manusia di seluruh kawasan dalam, luar dan kawasan persisiran negara. Kemasukan warganegara asing ke negara anggota ASEAN akan menyebabkan berlaku masalah yang tidak diduga seperti pelanunan, pendatang haram, penyeludupan senjata, dadah dan barangan, perdagangan manusia dan lain-lain jenayah.
       Selain itu, jika isu keselamatan ini tidak menekankan aspek ketenteraan dan keganasan maka isu kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) juga dianggap sebagai satu ancaman iaitu ancaman dari segi penduduk dan kependudukan tetap satu bangsa di sesebuah negara. Hal ini berlaku kerana faktor inflasi di sesebuah negara dan faktor tarikan geografi sesebuah negara yang menyebabkan masalah PATI ini berlaku. Oleh itu, negara anggota ASEAN hendaklah menjalinkan kerjasama politik yang baik untuk mengatasi masalah isu keselamatan negara dan keganasan. Misalnya negara Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan Indonesia untuk menyelesaikan masalah kebanjiran PATI di Malaysia (Ruhana, 2009).
4. Halangan dalam kerjasama Sosial dan Kebudayaan
       Negara serantau ASEAN mempunya gabungan negara Asia Tenggara yang luas yang mempunyai pelbagai latar belakang bangsa, budaya dan pesekitaran. Aspek sosial dan kebudayaan dalam kerjasama negara serantau ASEAN tidaklah mewujudkan kekangan yang menjejaskan kestabilan sesebuah negara (Aslam, 2005). Negara ASEAN saling menggunakan konsep akomodasi iaitu saling menerima budaya masing-masing dan menjalinkan hubungan yang baik antara negara anggota. Sejarah kebudayaan Asia Tenggara saling berkaitan akibat daripada faktor penjajahan dan perdagangan. Hal ini menyebabkan ada sesetengah kebudayaan bangsa sebuah negara akan hampir sama. Setiap bangsa akan mempunyai semangat patriotism terhadap kebudayaan asal mereka, namun sesetengah pihak yang buta sejarah akan mempertikaikan kebudayaan bangsa lain sama seperti kebudayaan bangsa mereka. Hal inilah menimbulkan konflik antara negara anggota ASEAN, dimana mereka mempertahankan sesuatu kebudayaan asal itu milik bangsa mana. Contohnya, isu kebudayaan makanan iaitu asal usul ‘popia´ yang juga menjadi makanan kebudayaan Indonesia dan juga makanan kebudayaan Malaysia. Contoh lain, seperti Indonesia mempersoalkan kebudayaan tarian ‘kuda kepang’ yang menjadi tarian kebudayaan bagi negeri Johor di Malaysia. Namun masalah sosial dan kebudayaan ini masih boleh dipertimbangkan dan membuat rundingan perdamaian yang harmoni antara negara anggota ASEAN.

5. Globalisasi
`      Negara ASEAN juga mempunyai halangan dalam mencapai tahap globalisasi yang sama seperti negara-negara maju Globalisasi adalah proses multidimensi yang menjadikan dunia lebih saling bergantung antara satu sama lain serta mencorak hubungan antara negara kaya dan miskin. Globalisasi didefinisikan sebagai ‘proses yang menyebabkan sesebuah bangsa menjadi semakin saling berhubung dalam aspek ekonomi, politik dan kebudayaan yang memungkinkan batasan geografi akibat pesatnya kemajuan teknologi, khususnya teknologi maklumat, pengangkutan dan komunikasi’ (Asim,1998).Globalisasi menjadikan seluruh sumber maklumat di dunia berada di hujung jari iaitu dengan perkenalan penggunaan media internet memudahkan komunikasi antara negara-negara di dunia sehingga mewujudkan sistem perniagaan import dan eksport menerusi jaringan internet iaitu menerusi sistem perniagaan on-line. Hal ini mewujudkan laman web yang memudahkan untuk mengakses maklumat. Saingan globalisasi menyebabkan negara anggota ASEAN menghadapi beberapa masalah seperti mempunyai teknologi dan kepakaran yang rendah serta kekurangan infrastruktur jaringan internet dan lain-lain. Globalisasi dalam bahasa juga menjadikan negara-negara ASEAN sukar mencapai kemajuan kerana seluruh dunia menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa (Teo K. S, 1998). Hal ini menunjukkan negara anggota ASEAN masih bergantung kepada potensi negara barat. Bahasa sangat mempengaruhi hubungan antara negara dan melalui bahasa sesebuah negara dapat menjalankan aktiviti perdagangan, dapat menukar teknologi dan kepakaran, dapat menjalinkan hubungan diplomasi untuk tujuan politik, sosial dan kebudayaan yang bertujuan untuk membangunkan negara. Negara ASEAN masih dikategorikan negara membangun yang masih meperbaiki kelemahan dalam pelbagai aspek terutama dalam mengejar perkembangan globalisasi dunia.

No comments:

Post a Comment

NOTA PADAT GEOGRAFI TINGKATAN 1,2 DAN PT3

Nota Padat Geografi Tingkatan 1 Nota Padat Geografi Tingkatan 2 Nota Padat PT3