Sunday 31 May 2015

HUBUNG KAIT ANTARA YDPA & MAJLIS RAJA-RAJA

Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.
            Menurut Malike Ibrahim (2012), Majlis Raja-Raja mempunyai hubungan secara langsung dengan Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja di negara ini. Di samping urusan pelantikan dan pemecatan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja berkuasa untuk mengenakan kawalan terhadap baginda sebelum baginda meninggalkan persekutuan dalam tempoh melebihi lima belas hari kecuali untuk tujuan lawatan rasmi. Majlis Raja-Raja boleh mengawal pergerakan baginda iaitu baginda perlu meminta izin majlis sebelum meninggalkan negara. Perkara ini boleh dikatakan sebagai satu sebab kepada Raja-Raja untuk enggan menerima jawatan Yang di-Pertuan Agong pada tahun-tahun awal selepas merdeka.
            Undang-undang yang berkaitan dengan fungsi Yang di-Pertuan Agong iaitu Ordinan Yang di-Pertuan Agong (Menjalankan Tugas-Tugas) 1957 telah diluluskan oleh Parlimen setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja. Berkaitan dengan pemecatan Yang di-Pertuan Agong, perlembagaan menetapkan bahawa pemecatan boleh dilakukan jika mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima daripada sembilan orang anggota Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja boleh memecat Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa dan atas apa jua alasan yang munasabah. Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan mengenai prosedur, jenis kesalahan yang membawa kepada pemecatan itu dan siapa yang boleh membuat aduan tentangnya. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong dituduhkan atas sesuatu kesalahan dalam Mahkamah Khas (Raja-Raja), baginda hendaklah berhenti daripada menjalankan tugas-tugasnya.

 Majlis Raja-Raja dan Institusi Diraja
             Peranan yang terpenting Majlis Raja-Raja adalah sebagai pihak yang berkuasa dalam mempertahankan segala keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja daripada dikurangi oleh Parlimen. Kuasa ini telah terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan sejak tahun 1957 lagi yang menetapkan bahawa mesyuarat Majlis Raja-Raja boleh diadakan untuk membincangkan tentang keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja. Hal ini kerana kita sudah sedia maklum bahawa sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi Raja merupakan lambang kedaulatan negara kita dan kedaulatan ini dipertahankan oleh Majlis Raja-Raja. Selain itu, menurut Hasnah Hussin (2007), Majlis Raja-Raja mempunyai satu badan khas ygn bertindak untuk memelihara hak istimewa orang Melayu. Hal ini bermakna, jika berlaku apa-apa perubahan tentang kedudukan orang Melayu maka perkara tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu di majlis ini.
            Mengikut pandangan Malike Ibrahim (2012), raja-raja yang menjadi ahli Majlis Raja-Raja boleh dalam keadaan tertentu mengambil alih kuasa pengampunan di peringkat negeri. Majlis juga diberi kuasa untuk melantik pengerusi badan pengampunan apabila ia melibatkan putera atau puteri Yang di-Pertuan Agong itu sendiri. Hal ini penting bagi menjamin keadilan dan merelevankan institusi tersebut. Di samping itu, majlis juga memberikan kuasa untuk menamakan hakim dalam mahkamh khas yang diberi kuasa untuk membicarakan Raja-Raja. Kuasa-kuasa ini telah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1993. Perkara ini bertujuan untuk menjadikan Majlis Raja-Raja bertindak sebagai pengawas raja-raja bagi mengawal gejala negatif agar institusi berraja tidak dilihat tidak relevan dan membebankan.

            Majlis Raja-Raja boleh mengambil alih kuasa agama daripada Raja-Raja Melayu dalam keadaan tertentu. Majlis penting dalam penyelarasan hal agama Islam di seluruh Malaysia kerana undang-undang Islam digubal oleh Dewan Undangan negeri dan dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri. Maka, akan timbullah ketidakseragaman jika penyelarasan tidak dilakukan. Sebagai contoh, Perlembagaan menyebut bahawa sekiranya Majlis Raja-Raja memutuskan bahawa sesuatu perbuatan atau perayaan Islam itu disambut diseluruh negara maka Raja-Raja hendaklah memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mewakili mereka agar tidak berlaku kekeliruan dalam soal agama.

No comments:

Post a Comment

NOTA PADAT GEOGRAFI TINGKATAN 1,2 DAN PT3

Nota Padat Geografi Tingkatan 1 Nota Padat Geografi Tingkatan 2 Nota Padat PT3